Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
NICE, REPUBLIK PERANCIS, Jumaat, 13 Jun. - Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-3 (The Third United Nation Ocean Conference) telah diadakan di Nice, Republik Perancis, bermula pada 9 hingga 13 Jun 2025.
Persidangan yang bertemakan 'Mempercepat Tindakan dan Menggerakkan Semua Pihak untuk Memelihara dan Menggunakan Lautan Secara Mampan' berkenaan dianjurkan bersama oleh Republik Perancis dan Republik Costa Rica bagi menghimpunkan Pembesar-pembesar Negara, menteri-menteri serta pihak berkepentingan global yang komited untuk memajukan 'Matlamat Pembangunan Mampan 14 : Kehidupan Dalam Air'.
Mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke persidangan berkenaan, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut menyertai rombongan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Haji Mohd. Yusree bin Haji Junaidi, berserta pegawai dari KSSUP dan Kedutaan Besar NBD di Paris, Republik Perancis.
Semasa sesi plenari, Yang Berhormat telah menyampaikan Kenyataan NBD, yang menyatakan komitmen NBD dalam pemuliharaan marin dan penggunaan sumber lautan secara lestari.
Menurut Yang Berhormat, antara inisiatif utama adalah termasuk pewartaan lebih 20 peratus kawasan laut NBD sebagai Kawasan Perlindungan Marin (Marine Protected Areas), larangan penangkapan ikan yu dan pengeluaran lesen baharu bagi alat pukat tunda, pemasangan takat-takat tiruan, penggunaan sistem pemantauan kapal tangkapan ikan, Kempen Bebas Plastik dan Botol Plastik.
NBD tambah Yang Berhormat, turut menekankan pendekatan tadbir urus marin berasaskan data melalui penilaian stok ikan bersama Southeast Asian Fisheries Development Center (SEAFDEC), pembangunan Pangkalan Data Stok Perikanan Kebangsaan, serta penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) dalam pemantauan terumbu karang.
Usaha-usaha berkenaan jelas Yang Berhormat lagi, sejajar dengan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework dan Dasar Biodiversiti Kebangsaan serta disokong melalui Pelan Tindakan Strategik dan Dasar Biodiversiti Kebangsaan 2024 hingga 2030.
Semasa persidangan berkenaan, NBD juga mengumumkan penganjuran Ekspedisi dan Persidangan Antarabangsa Hutan Ke Terumbu Karang (Forest to Reef) di NBD yang akan diadakan pada bulan ini, serta perancangan untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Lautan pada Jun 2026 bagi mempromosi kerjasama serantau dan inovasi dalam tadbir urus lautan.
Penyertaan dalam persidangan peringkat antarabangsa berkenaan mengukuhkan jalinan kerjasama antarabangsa, mendapatkan kepakaran teknikal, serta bertukar pandangan mengenai pengurusan laut yang mampan.
Di samping itu, Yang Berhormat turut berpeluang mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa rakan antarabangsa dan organisasi berkaitan. Ini termasuklah perbincangan bersama Department of Climate Change, Energy, the Environment and Water, Australia (DCCEEW), Australian Institute of Marine Science (AIMS), Reef Aquaculture Conservancy (ReefAC), United Nation Development Programme, United Nation Environment Programme dan Marine Conservation Institute (MCI).
Semasa mesyuarat dua hala di antara Yang Berhormat dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Australian Institute of Marine Science (AIMS), Profesor Selina Stead, organisasi berkenaan menyatakan minat untuk terus memperluaskan lagi inisiatif pemantauan terumbu karang di NBD, termasuk ekosistem hutan bakau dan rumput laut.
Mesyuarat dua hala berkenaan juga turut dihadiri oleh Division Head for International Environment Reef and Oceans, Department of Climate Change, Energy, the Environment and Water, Australia, Katrina Maguire, yang mengongsikan harapan Kerajaan Australia dalam memperkukuh kerjasama dengan NBD dalam pengurusan Kawasan Perlindungan Marin (MPAs).
Dalam perbincangan bersama Presiden Reef Aquaculture Conservancy (ReefAC), Dr. Guillermo A. Corona Herrera, ReefAC bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama dengan NBD dalam memajukan pendekatan ekonomi berteraskan alam semula jadi (nature-positive economy), khususnya berkaitan dengan ekosistem karbon biru.
Sementara itu, dialog bersama United Nation Development Programme, United Nation Environment Programme dan Marine Conservation Institute (MCI) tertumpu kepada usaha mengenal pasti kerjasama strategik dalam pemuliharaan lautan serta penggunaan dan pengurusan sumber secara mampan bagi ekosistem yang berhubung kait (dari hutan dan hutan bakau, hingga ke rumput laut dan terumbu karang), selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
NBD menyertai negara-negara lain dalam menyokong kerjasama antarabangsa yang lebih mantap, sokongan teknikal, dan mekanisme pembiayaan yang kukuh bagi mempertingkatkan keupayaan negara-negara kecil dan pesisir yang sedang membangun dalam menghadapi cabaran berkaitan iklim dan lautan.
Dalam pada itu, NBD kekal komited untuk mempercepatkan tindakan marin dan bersedia untuk bekerjasama bersama masyarakat antarabangsa dalam melindungi lautan dunia demi generasi kini dan akan datang.